KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan terus melatih pemimpin muda bagi meneruskan legasi dalam memajukan Sarawak pada masa akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, parti itu perlu berbuat demikian bagi melahirkan pemimpin yang kuat dan relevan.
“Setakat ini, kita dapat menguruskan parti kita dengan baik dan ini dapat memberi ruang kepada orang muda untuk memimpin pada masa akan datang.
“Keadaan akan sentiasa berubah, landskap politik pun akan berubah dengan sektor ekonomi diuruskan dengan cara baharu,” katanya.
Beliau yang juga Yang di-Pertua Parti PBB berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB di Sheraton Hotel, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sarawak menyasarkan untuk menjadi negeri kedua tertinggi sebagai penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, pada masa ini Kuala Lumpur menjadi penyumbang utama KDNK, manakala Selangor penyumbang kedua dan kini Sarawak di tempat ketiga setelah memintas Johor Bharu.
“Kita harus yakin dan mengatur strategi supaya KDNK negeri ini tinggi dan saya yakin kita akan dapat mengatasi Selangor.
“Dapat atau tidak terpulang pada kita untuk mengatur strategi ekonomi kita dan ini yang kita sasarkan sebelum menjelang PRN akan datang," katanya.
Tambahnya, usaha ini membuktikan kepada rakyat bahawa kepimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada dalam landasan yang betul.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak yang juga Timbalan Yang di-Pertua parti, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan parti, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Naib-Naib Yang di-Pertua Parti, Ahli-Ahli MT, Pergerakan Pemuda dan Wanita serta veteran-veteran parti.